Friday, September 26, 2008

Selamat Bercuti!

Assalamualaikum WBT..

Pada masa sekarang, kelihatan sudah ramai warga Za'ba mula mengosongkan kolej..bukan untuk lari dari tsunami tetapi masing - masing ingin pulang ke kampung halaman bagi bertemu keluarga tercinta & sama - sama merayakan Hari Raya ( walaupun kebanyakan student akan berhadapan dengan test selepas cuti, makanlah rendang ketupat sambil jawab test)

Pihak JKP Balai Islam ingin mengucapkan selamat menghabiskan baki - baki Ramadhan sebaiknya (carilah malam Lailatulqadar) dan Selamat Hari Raya Maaf Zahir & Batin.

Balik elok - elok dan jaga diri masing - masing. Semoga Allah SWT melindungi anda semua.InsyaAllah..

Sunday, September 21, 2008

Majlis Penutupan Ihya' Ramadhan (IHRAM '08)

Assalamualaikum WBT..

Syawal hampir menjelang tiba..semakin terasa keistimewaan Ramadhan tatkala ia hampir meninggalkan kita..

JKP Balai Islam akan mengadakan satu majlis penutupan program Ihya' Ramadhan (IHRAM '08) seperti ketetapan yang berikut:

Tarikh : 24 September 2008 (Rabu)
Masa : 9.00 Malam
Tempat : Dewan Nukleus KK7

Warga Za'ba dijemput hadir untuk memeriahkan majlis tersebut..

Kejarlah keberkatan Ramadhan sebelum ia menghilang..tidak pasti sama ada kita semua akan bertemu dengannya lagi..

Sunday, September 14, 2008

Ifthar Jam'ie (Majlis Berbuka Puasa Beramai-ramai)

Assalamualaikum WBT..

Sukacita dimaklumkan bahawa JKP Balai Islam akan menganjurkan majlis berbuka puasa beramai-ramai, atau lebih dikenali sebagai Ifthar Jam'ie sempena program Ihya' Ramadhan (IHRAM '08) yang diadakan sepanjang bulan Ramadhan.

Majlis akan bermula pada 17 September 2008 bertempat di Dewan Nukleus. Warga Za'ba sekalian dijemput memenuhi Dewan Nukleus untuk sama-sama mejayakan majlis tersebut.

Menariknya, majlis Ifthar Jam'ie ini turut menyambut Hari Memperingati al-Quds sedunia dan juga Nuzul al-Quran. Pengisian tentang kedua-dua peristiwa tersebut turut dimuatkan bersama-sama di dalam majlis Ifthar Jam'ie ini.

Semoga kehadiran anda semua diberkati oleh Allah SWT.InsyaAllah..

Tuesday, September 9, 2008

Notis Mesyuarat JKP Balai Islam

Assalamualaikum WBT..

Perhatian buat semua AJK dan juga ahli - ahli MT & Exco, 2 sesi mesyuarat akan diadakan pada ketetapan yang berikut:

Meeting MT + Exco
Tarikh : 9 September 2008
Masa : Selepas solat tarawih
Tempat : Surau al-Irsyad

Meeting semua AJK JKP Balai Islam
Terikh : 10 September 2008
Masa : Selepas solat tarawih
Tempat : Surau al-Irsyad

Diharapkan agar semua ahli dapat mematuhi masa serta dapat menghadiri mesyuarat - mesyuarat tersebut.Sekian, harap maklum.

Monday, September 8, 2008

12 Waktu Mustajab Untuk Berdoa

Allah memberikan setiap waktu dengan keutamaan dan kemuliaan yang berbeza-beza, di antaranya ada waktu-waktu tertentu yang sangat baik untuk berdoa, akan tetapi kebanyakan orang mensia-siakan kesempatan yang baik tersebut. Mereka menyangka bahawa seluruh waktu memiliki nilai yang sama dan tidak berbeza. Setiap muslim seharusnya memanfaatkan waktu-waktu yang utama dan mulia untuk berdoa agar mendapatkan kejayaan, keuntungan, kemenangan dan keselamatan. Adapun waktu-waktu mustajab tersebut antara lain ialah:

(1) Sepertiga Akhir Malam

Dari Abu Hurairah RA bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:

"Ertinya : Sesungguhnya Rabb kami yang Maha Berkah lagi Maha Tinggi turun setiap malam ke langit dunia hingga berbaki sepertiga akhir malam, lalu berfirman ; barangsiapa yang berdoa, maka Aku akan kabulkan, barangsiapa yang memohon, pasti Aku akan perkenankan dan barangsiapa yang meminta ampun, pasti Aku akan mengampuninya". (Shahih Al-Bukhari, kitab Da'awaat bab Doa Nisfullail 7/149-150)

(2) Tatkala Berbuka Puasa Bagi Orang Yang Berpuasa

Dari Abdullah bin 'Amr bin 'Ash RA bahawa dia mendengar Rasulullah SAW bersabda:

"Ertinya : Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa ketika saat berbuka ada doa yang tidak ditolak". (Sunan Ibnu Majah, bab Fis Siyam La Turaddu Da'watuhu 1/321 No. 1775. Hakim dalam kitab Mustadrak 1/422. Dishahihkan sanadnya oleh Bushairi dalam Misbahuz Zujaj 2/17),

(3) Setiap Selepas Solat Fardhu

Dari Abu Umamah, sesungguhnya Rasulullah SAW ditanya tentang doa yang paling didengari oleh Allah SWT, baginda SAW menjawab:

"Ertinya : Di pertengahan malam yang akhir dan setiap selesai shalat fardhu".
(Sunan At-Tirmidzi, bab Jamiud Da'awaat 13/30. Dishahihkan oleh Al-Albani di dalam Sahih Sunan At-Tirmidzi 3/167-168 No. 2782).

(4) Ketika Saat Perang Tercetus

Dari Sahl bin Sa'ad RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

"Ertinya : Ada dua doa yang tidak tertolak atau jarang tertolak ; doa ketika saat azan dan doa ketika perang tercetus". (Sunan Abu Daud, kitab Jihad 3/21 No. 2540. Sunan Baihaqi, bab Solat Istisqa' 3/360. Hakim dalam Mustadrak 1/189. Dishahihkan Imam Nawawi dalam Al-Adzkaar hal. 341. Dan Al-Albani dalam Ta'liq Alal Misykat 1/212 No. 672).

(5) Ketika Hari Jum'at

Dari Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

"Ertinya : Sesungguhnya pada hari Jum'at ada satu saat yang tidaklah bertepatan
seorang hamba muslim solat dan memohon sesuatu kebaikan kepada Allah melainkan akan diberikan padanya, beliau berisyarat dengan tangannya akan sedikitnya waktu tersebut". (Sahih Al-Bukhari, kitab Da'awaat 7/166. Sahih Muslim, kitab Jumu'ah 3/5-6)

Waktu yang sesaat itu tidak boleh diketahui secara tepat dan masing-masing riwayat menyebutkan waktu tersebut secara berbeza-beza, sebagaimana yang telah disebutkan oleh Ibnu Hajar di dalam Fathul Bari 11/203.

Dan kemungkinan besar waktu tersebut berada ketika saat imam atau khatib naik ke mimbar sehingga selesai solat Jumaat atau sehingga selesai waktu solat Asar bagi orang yang menunggu solat Maghrib.

(6) Ketika Waktu Bangun Tidur Pada Malam Hari Bagi Orang Yang Sebelum Tidur Dalam Keadaan Suci dan Berzikir Kepada Allah

Dari 'Amr bin 'Anbasah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

"Ertinya :Tidaklah seorang hamba tidur dalam keadaan suci lalu terbangun pada malam hari kemudian memohon sesuatu tentang urusan dunia atau akhirat melainkan Allah akan mengabulkannya". (Sunan Ibnu Majah, bab Doa 2/352 No. 3924. Disahihkan oleh Al-Mundziri 1/371 No. 595)

Terbangun tanpa sengaja pada malam hari.(An-Nihayah fi Gharibil Hadits 1/190)
Yang dimaksudkan dengan "ta'ara minal lail" terbangun dari tidur pada malam hari.

(7) Doa Di antara Azan dan Iqamah

Dari Anas bin Malik RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

"Ertinya : Doa tidak akan ditolak di antara azan dan iqamah". (Sunan Abu Daud, kitab Solat 1/144 No. 521. Sunan At-Tirmidzi, bab Jamiud Da'waat 13/87. Sunan Al-Baihaqi, kitab Solat 1/410. Dishahihkan oleh Al-Albani, kitab Tamamul Minnah hal. 139)

(8) Doa Ketika Waktu Sujud di Dalam Solat

Dari Ibnu Abbas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

"Ertinya : Adapun pada waktu sujud, maka bersungguh-sungguhlah berdoa kerana saat itu sangat tepat untuk dikabulkan". (Sahih Muslim, kitab Solat bab Nahi An Qiratul Qur'an fi Ruku' wa Sujud 2/48)

Yang dimaksudkan adalah sangat tepat dan layak untuk dikabulkan doa kamu.

(9) Ketika Saat Sedang Hujan

Dari Sahl bin a'ad RA bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:

"Ertinya : Dua doa yang tidak pernah ditolak ; doa ketika waktu azan dan doa ketika waktu hujan". (Mustadrak Hakim dan dishahihkan oleh Adz-Dzahabi 2/113-114. Disahihkan oleh Al-Albani dalam Shahihul Jami' No. 3078).

Imam An-Nawawi berkata bahawa penyebab doa pada waktu hujan tidak ditolak atau jarang ditolak ialah kerana pada saat itu sedang turun rahmat khususnya curahan hujan pertama di awal musim. (Fathul Qadir 3/340).

(10) Ketika Saat Ajal Tiba

Dari Ummu Salamah bahawa Rasulullah SAW mendatangi rumah Abu Salamah (pada hari wafatnya), dan beliau mendapati kedua mata Abu Salamah terbuka lalu beliau 'alaihi wasallam memejamkannya kemudian bersabda.

"Ertinya : Sesungguhnya tatkala roh dicabut, maka pandangan mata akan
mengikutinya'. Semua keluarga histeria. Baginda SAW bersabda : 'Janganlah kalian berdoa untuk diri kalian kecuali kebaikan, kerana para malaikat mengaminkan apa yang kamu ucapkan". (Sahih Muslim, kitab Janaiz 3/38)

(11) Ketika Malam Lailatul Qadar

Allah SWT berfirman:

"Ertinya : Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu penuh kesejahteraan sehingga terbit fajar". (Al-Qadr : 3-5)

Imam As-Syaukani berkata bahawa kemuliaan Lailatul Qadar mengharuskan doa setiap orang pasti dikabulkan. (Tuhfatud Dzakirin hal. 56)

(12) Doa Ketika Hari Arafah

Dari 'Amr bin Syu'aib RA dari ayahnya dari datuknya bahawasanya Nabi SAW bersabda:

"Ertinya : Sebaik-baik doa adalah pada hari Arafah". (Sunan At-Tirmidzi, bab
Jamiud Da'waat 13/83. Dihasankan oleh Al-Albani dalam Ta'liq alal Misykat 2/797 No. 2598)

Thursday, September 4, 2008

Mari ke surau..!

Assalamualaikum WBT..

Sukacita dimaklumkan bahawa JKP Balai Islam akan mengadakan solat tarawih berjemaah di surau al-Irsyad sepanjang bulan Ramadhan..

Solat tarawih akan diserikan lagi dengan imam - imam jemputan yang didatangkan khas..lengkap dengan tazkirah antara solat tarawih..

Buat yang memerlukan lebih pengisian, kami turut sediakan moreh selepas tarawih, so jangan bimbg :)

Selepas moreh pula akan diadakan program tadarus al-Quran di surau. Jadi marilah sama - sama kita mengimarahkan surau al - Irsyad dan seterusnya meningkatkan lagi amal ibadat kita di bulan Ramadhan yang mulia ini. InsyaAllah..

Wednesday, September 3, 2008

Portal Info Ramadhan

Panduan lengkap untuk bulan Ramadan.Tingkatkan ilmu anda tentang puasa.Layarilah...
http://www.al-azim.com/masjid/ramadhan1426/home.htm

Marilah bersenyum


















Bagi menghidupkan senyum setiap orang harus menjadi PEMULA.Tidak akan rugi orang yang memberi SALAM dan melemparkan SENYUMAN kepada orang lain bahkan sebaliknya memberikan keuntungn pada dirinya kerana dia telah mengikat tali persaudaraan secara tidak langsung.

Begitu juga dengan senyum,Rasulullah s.a.w pernah bersabda bahawa “senyum itu adalah sedekah".Dan dengan senyuman itu mampu memberikan kebahgian pada seseorang itu.Amat rugi sekiranya senyuman itu lesap dari wajah kita ini kerana kita di bebani dengan kerja dunia yang tidak memberikan kita jaminan kebahgian di akhirat kelak.

Alangkah indahnya kehidupan ini sekiranya setiap orang masing-masing melemparkan senyuman yang diiringi dengan keikhlasan dari hati pada setiap masa.Tapi AWAS! ‘Jangan senyum seorang diri pulak nanti orang salah tafsir’.

Antara pemimpin dengan orang yang dipimpin

Di dalam konsep kepimpinan hubungan antara pengikut dan ketua tidak dapat di pisahkan. Tanpa kedua-duanya sudah tentulah tiada kepimpinan. Oleh itu, PENGIKUT YANG BERSIH adalah penyumbang terbesar dalam memberikan kekuatan pada seorang ketua.Pengikut yang bersih ialah pengikut yang memiliki semua sifat di atas iaitu HATI YANG BERSIH, MENTAL YANG BERSIH & ILMU YANG BERSIH.Pengikut yang bersih ini juga adalah pengikut yang setia pada ketuanya, mampu memahami bebanan amanah yang di pikul oleh ketuanya dan sentiasa memberikan komitmen pada ketuanya walau dalam keadaan apa sekalipun. Pengikut ini juga sentiasa memberikan semangat dan sokongan pada ketuanya:

jikalau ketuanya suka, dia juga suka

jikalau ketuanya berduka, dia juga berduka

jikalau ketuanya Berjaya, dia juga Berjaya

jikalau ketuanya gagal, dia juga gagal

jikalau ketuanya sanggup berkorban demi perjuangan, dia akan pastikan ia tersenarai dalam golongan pengikut-pengikut yang sanggup berkorban demi perjuangan.


Wahai pengikut yang beriman! Sedarkah kamu sekalian bahawa kamu adalah sumber kekuatan seorang ketua? . Jika engkau lemah, engkau juga telah melemahkan ketuamu. Oleh itu, bersemangatlah dalam membantu ketuamu menguruskan kepimpinan ini. Tanpamu walau sehebat manapun ketuamu itu sudah tentu dia akan gagal dalam memimpin.

Kesimpulannya, pemimpin yang kuat ialah pemimpin yang mampu berdiri teguh dalam keadaan susah mahupun senang...Sama-sama kita renung dan beramal dengan hati yang ikhlas..

Cetusan Minda Syah Nor Iman, Isu 5

Assalamualaikum WBT..

Alhamdulillah, cetusan minda masih dapat diteruskan walaupun sekarang ini saya tidak berada di kolej dan tanpa sebarang capaian internet. Mujurlah saya dapat pinjam laptop baru ayah saya..hehe..tarikh sebenar saya menulis cetusan minda ini adalah 30 Ogos 2008, di Seri Kembangan, rumah kakak saya. Ibu dan ayah datang menjenguk anak – anaknya di Kuala Lumpur, dan bertandang di rumah kakak supaya dapat menyambut puasa pertama bersama – sama. Pada isu yang lepas, saya menyatakan bahawa menyambut puasa pertama bersama keluarga ini sudah menjadi suatu tradisi bagi kita dan saya juga tidak terkecuali..hehe..cuma situasinya berbeza, di mana ibu bapa datang ke bandar.

30 Ogos 2008 adalah tarikh hari lahir bagi ayah saya, jadi secara normalnya, anak – anak akan menghadiahkan sesuatu untuk ayahnya. Tetapi, situasi bagi keluarga saya adalah berbeza. Laptop yang saya gunakan ini akan diberi kepada ibu saya. Pada petang tadi, kami sekeluarga perg membeli – belah di Jusco Taman Equine, dan juga di beberapa kedai barangan rumah bagi membeli keperluan seperti set sofa, meja, TV flat screen, peti sejuk, ASTRO, tilam dan juga mesin basuh. Penaja barang – barang tersebut adalah ayah saya. Ayah saya pula yang berbelanja di hari lahirnya, demi kemudahan anak perempuannya yang memang serba kekurangan barang..hehe..akhirnya rumah kakak saya dapat juga berupa seperti sebuah rumah yang lengkap.

Jadi pada hari ini, saya ingin bercakap tentang “Kemahuan Ibubapa”.

Berdasarkan situasi di atas, saya tertarik dan terharu dengan segala pengorbanan ibubapa selama kita hidup di dunia ini. Lihatlah betapa prihatinnya ibu bapa tentang kemahuan anaknya. Betapa mereka berkorban harta demi melihat anaknya bahagia. Even di hari lahirnya, di mana anak – anak sepatutnya meraikan hari tersebut. Tetapi ibu bapa seperti tidak kisah dan seperti lupa bahawa hari itu sepatutnya mereka diraikan. Saya merasa terharu bila mengingatkan selama ini kita seperti lupa diri. Selalu meminta berbagai – bagai benda pada ibu bapa, tanpa memikirkan kesusahan mereka berhempas pulas mencari nafkah.

Selama ini kita seperti muram bila tidak cukup duit belanja..duit makan..duit minyak..duit beli buku..duit raya..dan bermacam duit.Kadang – kadang kita merajuk bila kemahuan kita tidak dipenuhi. Meraung – raung apabila tidak mendapat sesuatu, sedangkan setiap bulan ibu bapa perlu membayar pelbagai bil, serta perlu menghadapi pelbagai kenaikan harga barang. Betapa kita pentingkan diri sendiri apabila ibu bapa dapat memenuhi keperluan kita, barulah kita merasa gembira.

Cuba fikirkan berapa banyakkah yang mereka telah dikorbankan untuk melihat kita dapat melanjutkan pelajaran hingga ke universiti ataupun ke pusat – pusat pengajian tinggi. Sanggup habiskan beribu – ribu ringgit supaya dapat melihat anaknya berjaya.

Cuba Tanya diri sendiri, berapa ribu kalikah kita pernah meminta ibu bapa sesuatu. Berapa kalikah kita merajuk dan bermasam muka apabila permintaan tidak dipenuhi. Berapa kalikah kita bermasam muka apabila malas hendak membantu ibu bapa. Berapa kalikah kita seronok membelanjakan wang yang diberi ibu bapa.

Cuba fikirkan berapa kalikah ibu bapa tidak tidur semasa hendak membesarkan kita. Berapa ribu ringgitkah duit yang habis dibelanjakan untuk membesarkan kita, memberi kita makan, menyekolahkan kita, menghantar kita ke universiti dan sebagainya.

So, berapa kalikah mereka MEMINTA pada kita sesuatu semula. Berapa kalikah mereka MENGUNGKIT. Adakah mereka minta kita MEMBAYAR jasa mereka, sedangkan kita pernah MEMINTA upah bila selesai melakukan kerja yang disuruh.

Mereka tidak pernah..

Apa yang mereka harapkan cumalah ingin melihat kita gembira dan bahagia. Ibu bapa tidak pernah meminta sesuatu dari kita secara material, tetapi meminta kita secara rohani.

Cubalah bekerja bagi merasai betapa peritnya mencari nafkah. Sudah tentu wang yang anda perlolehi daripada kerja itu tidak akan dibazirkan, apatah lagi orang hendak meminta wang daripada kita, lagilah tidak akan diberi.

Bayangkan apabila kita selalu meminta daripada ibu bapa.

Jadi, apabila anda selalu memikirkan kemahuan anda. Fikirkan kemahuan ibu bapa. Kita sendiri tidak akan dapat membayar segala apa yang diberi. Apa yang kita mampu, hanyalah ucapan terima kasih yang ikhlas buat ibu bapa, menyayangi mereka dan juga mendoakan kesejahteraan mereka.

Itulah kemahuan ibu bapa.

-Syah Nor Iman-