Saydatina Fatimah az-Zahra adalah puteri kesayangan Rasulullah SAW dan satu-satunya puteri baginda yang menghasilkan anak untuk meneruskan zuriat kepada baginda Rasulullah.Beliau berkahwin dengan Saidina Ali bin Abi Talib dan melahirkan dua orang putera iaitu Hassan dan Hussein. Hubungan Rasulullah SAW dengan Saidatina Fatimah sekeluarga begitu intim dan baik sekali.
Pada suatu hari, baginda membicarakan mengenai kenikmatan syurga dan orang - orang yang tinggal di dalamnya dengan Fatimah. Antara lain nabi bersabda;
"Wahai anakandaku! Ada seorang perempuan kebanyakan yang akan masuk syurga lebih dahulu daripada anakanda."
Mendengar kata-kata Rasulullah itu maka air muka Fatimah terus berubah. Sambil menangis, beliau berkata kepada Rasulullah;
"Siapakah perempuan itu ayahanda? Macam mana halnya dan bagaimana amalannya sehingga dia dapat lebih dahulu ke dalam syurga daripada anakanda?"
Lalu Rasulullah berkata;
"Dia adalah seorang wanita yang miskin, tinggal di Bukit Uhud, tiga batu dari Madinah."
Tanpa membuang masa, Fatimah pun keluar mencari perempuan yang dikatakan akan masuk syurga terlebih dahulu daripadanya itu. Setibanya di rumah perempuan tersebut, dia pun mengetuk pintunya. Perempuan berkenaan yang bernama Mutiah keluar sambil bertanyakan hajat kedatangannya tetapi tidak menjemput Fatimah masuk ke rumahnya.
Fatimah menyatakan bahawa kedatangannya adalah untuk berjumpa dan berkenalan dengannya. Mutiah menjawab;
"Terima kasih, puan. Tetapi saya tidak dapat membenarkan puan masuk kerana suami saya tidak ada di rumah. Nanti bila saya minta izin apabila dia balik. Silalah datang pada esok harinya."
Fatimah pulang dengan perasaan sedih, dukacita dan hampa kerana tidak dapat masuk dan bercakap panjang dengan perempuan itu. Keesokan harinya, beliau datang lagi dengan membawa bersama anaknya, Hassan.
Sebaik saja tiba di rumah wanita itu dan pintu dibuka, tiba-tiba dia melihat ada budak bersama-sama Fatimah. Fatimah menyatakan bahawa budak itu adalah Hassan, anaknya. Lantas perempuan itu berkata;
"Maaf puan kerana saya belum minta izin masuk anak puan daripada suami saya."
Keadaan ini menjadikan Fatimah serba salah. Hendak pulang, jauh. Hendak ditinggalkan Hassan di luar, khuatir dia akan menangis. Hendak dibawanya masuk, belum mendapat keizinan suami perempuan tadi. Akhirnya, beliau terpaksa juga balik.
Keesokan harinya, Saydatina Fatimah datang lagi dengan membawa kedua-dua anaknya, Hassan dan Hussein. Beliau disambut oleh perempuan itu tetapi terkejut apabila terdapat budak lain pula yang belum diminta keizinan dari suaminya. Terpaksalah Fatimah pulang dan datang lagi pada keesokan harinya. Dalam perjalanan pulang, Fatimah merungut sendirian;
"Perempuan ini sangat takutkan suaminya sehingga perkara yang begini pun dia tak berani lakukan. Jika dia benar pun aku masuk, takkanlah suaminya marah. Tak usahlah pandang aku ni siapa dan dua budak ini cucu siapa? Pandanglah kepada tetamu dan orang jauh pula."
Apabila suaminya pulang, perempuan itu memberitahu tentang budak lelaki yang satu lagi itu. Suaminya terkejut dan hairan sambil berkata;
"Kenapa awak tahan sampai begitu sekali. Bukankah Saidatina Fatimah itu puteri Rasulullah SAW dan dua orang anaknya itu cucu Rasulullah? Sepatutnya awak benarkan mereka kerana keselamatan kita berdua kelak bergantung pada keredhaannya (Nabi). Jangan awak buat seperti itu lagi. Jika mereka datang lagi ke mari dengan membawa apa pun dan siapapun, terimalah dengan baik dan awak hormatlah mereka semua sebagaimana yang patut bagi darjat mereka."
Mutiah kemudian berkata;
"Baiklah tapi ampunkanlah kesalahan saya kerana saya mengerti bahawa keselamatan diri saya ini bergantung kepada keredhaan awak, suami saya. Oleh itu, saya tidak berani membuat perkara yang akan membawa kemarahan atau menyakiti hati awak."
Pada keesokan harinya, Fatimah datang lagi dengan membawa kedua-dua orang puteranya. Mereka diterima dan diberi hormat mengikut adat kampung dengan dijamu sedikit buah kurma dan air.
Kemudian mereka memulakan perbualan. Kemudian, tanpa mempedulikan Fatimah, Mutiah berjalan ke arah muka pintu sambil memandang ke arah jalan seolah-olah sedang menanti kedatangan seseorang.
Dalam pada itu Fatimah terlihat di tangannya terdapat sebatang tongkat dan sebuah bekas berisi air, manakala tangan sebelah lagi mengangkat hujung kainnya sehingga menampakkan betis dan sedikit pahanya. Mukanya tersenyum manis.
Perlakuan Mutiah yang langsung tidak mempedulikan kehadirannya dan anak-anaknya telah menimbulkan perasaan resah kepada Fatimah. Lantas beliau bertanya untuk mendapat penjelasan. Kata Mutiah;
"Puan, maafkan saya kerana saya sedang menanti kepulangan suami saya."
"Buat apa dengan bekas air dan tongkat itu?" Tanya Fatimah.
"Sekiranya suami saya dahaga ketika sampai di rumah nanti, saya akan segera menghulurkan air ini kepadanya supaya tidak terlambat. Jika terlambat, mungkin dia akan marah. Tongkat ini memudahkan dia memukul saya sekiranya dia marah."
Kemudiah Fatimah bertanya lagi;
"Kenapa pula selak kain sehingga menampakkan aurat? Bukankah perbuatan seperti itu haram?"
Jawab Mutiah:
"Jika dia berkehendakkan saya, lalu dia pandang begini tentulah menambahkan syahwat dan nafsunya yang memudahkan pada maksudnya."
Fatimah mendengar penjelasan Mutiah dengan penuh hairan dan lantas berkata pada dirinya sendiri;
"Jika beginilah kelakuan dan perangainya, tidaklah dapat aku mengikutnya. Patutlah dia dimasukkan ke syurga lebih dahulu daripada aku. Benarlah keselamatan perempuan yang bersuami itu bergantung kepada ketaatan kepada suami dan keredhaan suami terhadapnya."
Dengan esak tangis dan linangan air mata, Fatimah pulang ke rumah dan terus menemui Rasulullah. Ketika menemui ayahandanya, Fatimah terus berkata;
"Anakanda berasa sungguh sedih dan lemah segala sendi kerana tidak dapat meniru dan mengamalkan tingkah laku perempuan yang ayahanda ceritakan itu."
Rasulullah tersenyum mendengar rintihan Fatimah. Faham dengan perasaannya, Rasulullah lantas berkata;
"Anakanda janganlah susah hati. Perempuan yang anakanda jumpa itu ialah perempuan yang akan memimpin dan memegang tali kenderaan tunggangan anakanda ketika masuk ke syurga. Sebab itulah dia masuk dahulu."
Mendengar pernjelasan itu barulah Fatimah tersenyum kembali.
No comments:
Post a Comment