Friday, April 17, 2009

Selamat Exam!


Barisan pimpinan Balai Islam sesi 08/09 mengucapkan selamat menduduki peperiksaan buat semua muslimin & muslimat. Semoga usaha anda semua yang selama ini berjihad menuntut ilmu di jalan-Nya akan dibalas sebaik-baiknya. InsyaAllah.

Hakikat Ilmu Tasawuf..part 2

Sambungan dari part 1, membincangkan tentang ajaran-ajaran Tasawuf mengikut Imam al-Qusyairi...


Khauf

Takut Kepada Allah.

Raja'

Sentiasa berharap keampunan dan rahmat Allah SWT.

Ju'-Wa Tarkus-Syahwat

Membiasakan lapar dengan puasa sunat dan menahan hawa nafsu.

Khusyuk/Tawaduk

Tenang hati dan rendah diri, serta tidak sombong.

Qana'ah

Tidak tamak dan rakus.

Tawakal

Setelah berusaha, perlu menyerahkan segalanya kepada Allah SWT.

Syukur

Berterima kasih kepada Allah atas segala rahmat dan nikmat-Nya.

Yakin

Keyakinan yang teguh kepada Allah.

Sabar

Tahan menghadapi penderitaan.

Muraqabah

Meyakini dengan sesungguhnya bahawa Allah sentiasa mengawasi dan mengetahui segala gerak-geri kita.

Dalam masalah Muraqabah ini Imam al-Qusyairi berkata:

"Muraqabah itu ialah seseorang itu meyakini bahawa Allah SWT sentiasa mengawasi dirinya."

Maka jika sudah begitu mendalamnya muraqabah itu dalam diri seseorang, maka sudah tentu dia akan sentiasa mengingati Allah, menjaga dirinya dari perkara yang dimurkai Allah yang akhirnya akan membuat dirinya sentiasa taat dan setia pada-Nya, dan merasa seolah-olah Allah sentiasa di hadapannya mengawasi segala pekerjaannya, perkataannya dan gerak-gerinya. Inilah yang dimaksudkan dengan Muraqabah.

Berkata ahli sufi:

"Barang siapa yang mengawasi/memelihara Allah dalam hatinya Nescaya Allah akan memelihara mereka pada anggota badannya."

Tersebut lagi dalam Risalah Qusyairiah, seorang ahli sufi terkenal Nashrabadzi berkata:

"Raja' (harapan) itu menggerakkan engkau kepada taat, Khauf pula menjauhkan engkau dari maksiat dan Muraqabah pula mendorong engkau ke jalan yang benar."

Dari keterangan ini jelas kepada kita betapa pentingnya Raja' Khauf dan Muraqabah itu dalam ilmu Tasawuf.

Dalam al-Quran, Allah SWT mengingatkan kita:

"Sesungguhnya Allah itu sentiasa mengawasi dan mengintip-intip atas kamu."
Surah an-Nisa, ayat 10

"Dia (Allah) mengetahui pengkhianatan mata dan kejahatan yang disembunyikan oleh dada."
Surah al-Mukmin, ayat 19

"Dan Allah itu mengawasi atas setiap sesuatu."
Surah al-Ahzab, ayat 52

Berdasarkan ayat-ayat tersebut, ternyata betapa pentingnya ajaran Muraqabah itu wujud dalam diri dan hati seseorang bagi menjaga den mengawasi hati dan pancaindera zahir dari dosa dan kesalahan, kerana walaupun perkara itu tersembunyi jauh di sudut hati, akan tetap diketahui oleh Allah Tuhan Yang Maha Raqib.

Redha

Rela menerima segala Qada' dan Qadar Allah atas diri kita.

Ubudiah

Penghambaan diri kepada Allah SWT.

Iradat

Berkemahuan untuk beribadat kepada Allah SWT.

Istiqamah

Tetap berpegang atas kebenaran. Istiqamah ini sangat penting ditanamkan di hati setiap mukmin, ini kerana mengingat betapa banyaknya bisikan dan godaan syaitan terutama di akhir zaman seperti sekarang. Hanya orang-orang yang istiqamah sahaja yang akan terselamat daripada pujuk rayu syaitan dan iblis itu. Allah Taala memberikan jaminan kepada mereka yang beristiqamah akan ditempatkan-Nya di syurga dan kekal abadi di dalamnya. Firman-Nya:

"Sesungguhnya orang-orang yang berkata: "Tuhan kami ialah Allah", kemudian mereka tetap istiqamah, maka tidak ada kekhuatiran atas mereka dan tidak mereka berdukacita. Mereka itulah ahli Syurga, mereka kekal di dalamnya sebagai balasan terhadap amal yang mereka kerjakan."
Surah al-Ahqaf, ayat 13-14

Ikhlas

Semua ibadat yang dilakukan semata-mata kerana Allah, bukan kerana yang selain daripada-Nya.

Siddiq

Sentiasa berkata yang benar, baik dalam percakapan mahupun perbuatan.

Haya'

Malu melakukan dosa kecil mahupun dosa besar.

 Zikir

Mengingat Allah dengan mengucapkan pujian kepada-Nya.

Futuwah

Baik hati dan sedia berkorban.

Firasah

Pandangan yang mendalam di dalam ilmu Firasat.

Al-Khulq

Budi pekerti yang mulia.

Doa

Banyak munajat kepada Allah SWT.

Demikianlah garis-garis panduan bagi ajaran Tasawuf yang menjadi tumpuan amal mereka. Sebenarnya bahawa ajaran-ajaran Tasawuf itu adalah amalan semua kaum Muslimin di mana saja mereka berada. Hanya bezanya yang amat ketara bahawa golongan ahli sufi mengamalkan ajaran-ajaran itu secara lebih mendalam sehingga menjadi falsafah hidup mereka. Mereka lebih mementingkan kehidupan akhirat daripada kehidupan dunia kerana mereka lebih memahami dan mendalami ayat-ayat al-Quran yang menjadi dasar Tasawuf itu. Misalnya firman Allah:

"Negeri akhirat itu Kami jadikan untuk orang-orang yang tidak menginginkan ketinggian di muka bumi dan tidak pula membuat kerosakan. Dan kesudahan yang baik itu adalah untuk orang-orang yang bertaqwa kepada Allah."
Surah al-Qasas, ayat 83

Maka difahamkan dari ayat ini jelas dan terang bahawa Allah Taala menyediakan negeri akhirat (Syurga) itu untuk hamba-hamba-Nya yang tidak menginginkan kemegahan, ketinggian dan sunjungan dalam kehidupan di dunia dan tidak pula mengadakan kejahatan serta kerosakan di muka bumi.

Oleh itu, orang-orang yang faham lebih mendalam tentang maksud ayat ini, mereka tidak begitu mementingkan kehidupan dunia, mereka hanya mengambil dunia sekadar keperluannya sahaja, mereka bersikap zuhud, qana'ah dan wara' terhadap kesenangan dunia, mereka menjadikan dunia betul-betul sebagai jambatan ke akhirat. Mereka sekadar lalu di atasnya, mereka tidak merasa perlu mendirikan mahligai indah di atas jambatan yang sebentar lagi mereka akan tinggalkan buat selama-lamanya. Hanya orang yang lalai sahaja akan terpedaya dengan dunia yang fana ini, mereka (ahli sufi) tidak terlonjak riang jika dunia jatuh ke riba mereka, sebaliknya mereka tidak merasa duka bila dunia itu lari daripadanya. Ingatan mereka sentiasa terpaut dengan firman Allah:


"Katakanlah (wahai Muhammad), kesenangan itu sedikit (sebentar sahaja) dan kesenangan akhirat itu lebih baik (kekal) bagi orang yang bertaqwa."
Surah an-Nisa', ayat 77

Semua kaum Muslimin yang benar-benar Muslim dan Mukmin mengamalkan ajaran-ajaran Tasawuf di atas, hanya sebahagian mengamalkan sekadar yang wajib sahaja misalnya 'ibadat', sesetengah Muslimin mengerjakan ibadat asas sahaja seperti solat 5 waktu, puasa wajib serta mengerjakan haji sekali seumur hidup dan sebagainya. Namun, ahli sufi mengerjakannya jauh lebih banyak dan mendalam. Jika orang awam akan bertaubat jika melakukan dosa, maka ahli sufi akan bertaubat jika ada lalai hatinya dari mengingat Allah, walaupun sesaat.

Berkata Dzin Num al-Misri:

"Taubat orang awam itu apabila melakukan dosa, dan taubat orang khauwash (orang istimewa) apabila lalai mengingati Allah."

Dari keterangan Ulama Sufi yang terkenal itu, nyata betapa mendalamnya amal ibadat mereka, bahkan suatu perkara yang sudah dipandang baik oleh orang-orang yang baik-baik, tetapi bagi orang-orang Muqarrabin (yang dekat kepada Allah), perkara itu masih dianggap buruk. Tersebut di dalam al-Mizanul Kubra, Imam Sya'rani menyebutkan sebuah Qaidah orang-orang Muqarrabin yang berbunyi begini:

"Sesuatu yang hasanat (baik-baik) pada pandangan orang-orang baik, masih dipandang buruk (Sayyiat) pada sisi orang-orang Muqarrabin."
al-Mizanul Kubra, Jilid 1, Halaman 113

Orang yang sampai ilmunya pada maqam (kedudukan) yang tinggi seperti Muqarrabin, mereka tidak salah berpandangan dan beramal menurut maqamnya itu, mereka adalah ulama'-ulama' besar, mereka wali-wali Allah di muka bumi ini.

Para Khulafa' ar-Rasyidin yang empat iaitu Abu Bakar, Umar, Usman, Ali dan juga termasuk 'Umar bin Abdul Aziz adalah termasuk dalam golongan orang-orang yang hampir kepada Allah Taala dan mereka termasuk Imam dan Pemimpin umat Islam yang patut menjadi ikutan dan tauladan kaum Muslimin setelah Resulullah SAW. Begitu juga para ulama' mujahidin seperti Abu Hanifah, Malik bin Anas, Muhammad Idris as-Syafi'ie dan Ahmad bin Hanbal, mereka adalah wali-wali Allah dan pemimpin umat Islam yang mesti dijadikan tauladan dan ikutan oleh kaum Muslimin.

Selamat Mengenali Ilmu Tasaquf. Sila rujuk kitab-kitab yang telah dinyatakan untuk rujukan anda sekalian.

Thursday, April 16, 2009

Hakikat Ilmu Tasawuf..part 1

Dalam mengenal hakikat ilmu Tasawuf, sebenarnya ulama' ahli Tasawuf telah banyak mengemukakan pendapat mereka tentang hakikat Tasawuf. Menurut Ibnu Khaldun:

"Asal pokok ajaran Tasawuf ialah tekun beribadat, berhubungan langsung kepada Allah, berpaling dari kemewahan dan kemegahan dunia, berlaku zuhud terhadap sesuatu yang dituntut oleh kebanyakan manusia dari kelazatan, harta kekayaan, kebesaran duniawi, dan mengasingkan diri dari orang ramai di tempat yang sunyi untuk beribadat kepada Tuhan."
Zuhrul-Islam IV hal 151

Maka inilah hakikat Tasawuf yang paling tepat menurut Ibnu Khaldun sebagaimana dikemukakan oleh Syaikh Ahmad dalam Kitab Zuhrul Islamnya dan ditulis pula oleh K. H. Sirajuddin Abbas dalam buku 40 Masalah Agama jilid 3 halaman 34.

Selain itu, menurut Imam al-Karakhi bahawa hakikat Tasawuf itu ialah:

"Mengekalkan taat kepada Tuhanmu, berkhidmat kepada sesama Muslim dan menasihati mereka."
Risalah Qusyairiah, halaman 9

Untuk lebih lengkap lagi bagi mengetahui ajaran Tasawuf itu, maka ada baiknya kita lihat pula pokok-pokok ajaran Tasawuf seperti yang dikemukakan oleh Imam Tasawuf yang terkenal iaitu Imam al-Qusyairi Rahimahullah.

Adapun ajaran-ajaran Tasaquf menurut Imam al-Qusyairi iaitu:

Taubat

Iaitu meninggalkan maksiat, serta menyesali mengerjakannya, beristighfar kepada Allah SWT. Taubat dari dosa ini adalah ajaran yang paling dahulu wajib dikerjakan sebelum yang lain-lainnya. Berkata Imam al-Qusyairi:

"Taubat itu ialah jalan pertama daripada beberapa jalan bagi orang-orang yang menuju keredhaan Allah dam makam (tempat) pertama daripada beberapa makam bagi orang-orang yang mencari makam yang diredhai Allah."
Risalah Qusyiriah, halaman 45

Imam Ghazali menyatakan pula tentang taubat ini:

"Taubat itu adalah nak kunci kebahagiaan bagi murid-murid yang belajar ilmu dan amalan Tasawuf."

Demikian betapa pentingnya taubat yang hukumnya adalah wajib bagi tiap-tiap lelaki dan perempuan yang mukallaf.

Mujahadah

Bersungguh-sungguh dalam beribadat.

Taqwa

Menjunjung segala perintah Allah dan menjauhi segala larangan-Nya.

Warak

Menjauhi diri dari maksiat dan syubhat.

Zuhud

Meninggalkan segala hal-hal keduniaan yang halal, mengambil sekadar hajat keperluan sahaja, mengikis jiwa daripada mencintainya secara berlebih-lebihan

Berkata Imam al-Qusyairi:

"Zuhud pada perkara yang haram itu wajib dan zuhud pada perkara yang halal adalah sifat utama."

Berkata pula Imam Ahmad bin Hambal:

"Zuhud itu ada tiga macam: Meninggalkan segala yang haram, itulah zuhud orang-orang awam. Meninggalkan yang berlebihan daripada yang halal, itulah zuhud orang-orang khawash (orang yang istimewa). Meninggalkan segala apa saja yang boleh mengganggu seorang daripada mengingat Allah, maka itulah zuhud orang-orang arifin (bijak)."

Khalwat/Uzlah

Berseorangan beribadat kepada Allah.

Shamat

Banyak diam. Jika bercakap, maka bercakaplah yang benar. Jika tidak, maka lebih baik diam.

...bersambung pada post yang akan datang...



Sunday, April 12, 2009

Tahniah Kepimpinan Balai 08/09!

Assalamualaikum WBT..

Semalam merupakan acara kemuncak bagi menutup segala gerak kerja (kecuali blog) bagi kepimpinan Balai Islam Za'ba sesi 08/09 di bawah sdr. Fariz. Setiap exco telah memberi amanat serta nasihat masing-masing. Pelbagai acara telah dirancang semalam untuk menutup segala aktiviti Balai Islam dengan sempurna.

Para pucuk pimpinan Balai mengucapkan tahniah serta terima kasih yang tidak terhingga pada semua AJK Balai yang tidak putus-putus memberikan komitmen serta keikhlasan dalam berjuang menegakkan martabat Islam di Kolej Za'ba. Sumbangan anda di dalam kolej yang kecil ini akan diberi ganjaran yang besar di hari kemudian. InsyaALLAH.

Buat bakal pemimpin-pemimpin Balai di masa akan datang, selamat memimpin dan pikullah tanggungjawab besar yang akan mendatang. Sesungguhnya itu adalah amanah dari Allah dan harus dipegang dengan elok dan perlu berlaku adil.

Buat masa sekarang, semua MT dan Exco Balai sudah meletakkan jawatan secara tidak rasmi dan telah bergelar mantan-mantan yang semestinya punyai pengalaman yang berguna buat rujukan bakal pemimpin semua. Jangan segan silu untuk bertanya dan dengan izin Allah mereka akan membantu bakal pemimpin sekalian.

Akhir kata, selamat menjalani peperiksaan dan moga-moga Allah merahmati anda semua. Sekian. Wassalam.

-Wakil Pimpinan Balai Islam sesi 08/09-

Tuesday, April 7, 2009

Jamuan Balai Islam '09

Assalamualaikum WBT..

Harap maklum..pada 11hb (Sabtu) akan diadakan jamuan untuk AJK JKP Balai Islam '09. Berikut adalah beberapa butiran majlis:

Tentatif Ringkas

- Waktu petang : Persiapan tempat di gelanggang futsal Kolej Za'ba.
-Ceramah oleh ustaz jemputan di surau al-Irsyad pada sebelah malam, selepas Maghrib.
-Berkumpul di gelanggang futsal selepas menunaikan solat Isyak berjemaah.

Beberapa Aktiviti..

- Cabutan bertuah
- Semestinya, jamuan makan
- Amanat-amanat barisan MT,exco JKP Balai Islam '09
- Sesi pertukaran hadiah antara AJK*

* Untuk pertukaran hadiah, dicadangkan bahawa harga minimum adalah RM5 (quality control). Pada malam jamuan akan diadakan sesi pertukaran dengan mencabut nama.


Diharapkan AJK-AJK Balai Islam dapat meluangkan masa untuk sama-sama memeriahkan majlis. Sekian, harap maklum.

-Biro Penerbitan-