Diterbitkan sempena ulangtahun ke-200 Charles Darwin pada minggu lepas, dipetik dari buku Quran Saintifik : Meneroka Kemerlangan Quran Daripada Teropong Sains. Pengarang : Dr. Danial Zainal Abidin, terbitan PTS Millenia Sdn. Bhd. website : www.pts.com.my
Teori yang paling popular diperkatakan berhubung kejadian manusia adalah teori evolusi Charles Darwin. Teori ini diasaskan oleh seorang pakar biologi dari England yang bernama Charles Robert Darwin (1809-1882 Masihi). Beliau menegaskan, kesemua makhluk hidup, sama ada manusia ataupun haiwan, berasal daripada keturunan yang sama (common ancestor). Keturunan yang awal ini kemudiannya berubah dari satu tahap ke tahap yang lain demi menyesuaikan diri dengan keadaan dan persekitaran yang sentiasa berubah. Hasil daripada perubahan - perubahan itu yang memakan masa jutaan tahun, akhirnya lahirlah makhluk yang kompleks yang bernama manusia. Beliau mengutarakan pendapatnya di dalam bukunya yang bertajuk The Origin of Species by Means of Natural Selection pada tahun 1859.
Sekiranya teori ini benar, kita pasti bertemu dengan banyak makhluk yang berbentuk separuh binatang separuh manusia, separuh binatang laut dan separuh binatang darat serta separuh burung dan separuh haiwan biasa kerana teori evolusi menuntut kewujudan makhluk - makhluk ini sebagai bukti berkenaan kebenarannya. Namun hingga ke hari ini makhluk seumpama itu tidak ditemui sehingga ke suatu masa Darwin sendiri meragui teorinya.
Di dalam bukunya yang bertajuk The Origin of Species beliau berkata:
"Jika makhluk - makhluk berubah dari satu spesies ke spesies yang lain, mengapa tidak ditemui spesies yang pertengahan itu (transitional forms)? Mengapa kehidupan wujud dalam keadaan teratur dan tidak kelam - kabut? Mengapa makhluk penghubung antara satu spesies dengan spesies yang lain tidak wujud? Perkara inilah yang memeningkan kepalaku selama ini!"
Kenyataan ini dilaporkan dalam The Origin of Species by Means of Natural Selection or the Preservation of Favoured Species in the Struggle for Life (Charles Darwin; Senate Press, London, 1995)
Bagi membuktikan kewujudan spesies pertengahan ini, penipuan demi penipuan dilakukan oleh ahli - ahli sains tertentu. Sebagai contoh pada tahun 1912 diisytiharkan penemuan tulang rahang dan tempurung otak makhluk yang digelar sebagai Piltdown Man. Tulang - tulang ini ditemui di Piltdown, England, oleh seorang ahli sains yang bernama Charles Dawson. Ia dikatakan makhluk daripada spesies pertengahan antara binatang dengan manusia. Selepas beberapa ujian dilakukan akhirnya pada tahun 1953 didedahkan bahawa tulang rahang itu diambil daripada seekor orang hutan yang baru meninggal dunia dan tempurung otaknya adalah tempurung otak manusia yang sebenar. Hal ini dilaporkan dalam artikel bertajuk Smith Woodward's Folly oleh Stephen Jay Gould dalam majalah New Scientist, 5 April 1979.
Secara dasarnya teori Darwin menafikan kewujudan Tuhan. Kuasa penentu dalam proses evolusi ini adalah natural selection atau 'kuasa semula jadi'. Justeru pengasas teori komunisme, Karl Marx mengagumi Charles Darwin sehinggakan di dalam bukunya Das Kapital beliau menganggap dirinya pengikut setia Charles Darwin. Hal ini dinyatakan oleh Harun Yahya di dalam bukunya yang bertajuk Evolution Deceit (Ta-Ha Publishers Ltd.; UK, 1999)
Sebenarnya untuk teori Darwin menjadi kenyataan, hidup - hidupan perlu berubah secara berperingkat - peringkat melalui proses mutasi (perubahan yang rawak dan spontan). Mutasi dalah proses perubahan yang berlaku ke atas sesuatu sel disebabkan perubahan yang berlaku ke atas sistem genetiknya. Justeru, andai kata teori ini digunapakai, evolusi atau perubahan seekor ikan di zaman dahulu kepada manusia bermula dengan proses mutasi yang berlaku ke atas gen ikan berkurun - kurun lamanya sehingga akhirnya ia bertukar menjadi gen manusia yang melahirkan manusia.
Adakah pandangan ini dianggap logik? Pada hari ini pakar - pakar sains mula mempertikaikan pandangan ini, sebagai contoh Dr. Lee Spetner. Beliau yang mengajar di Universiti Johns Hopkins dan Institut Weizman, mengkaji proses mutasi di peringkat molekul selama bertahun - tahun lamanya. Di dalam buku beliau yang bertajuk Not by Chance: Shattering the Modern Theory of Evolution (Judaica Press, ISBN: 1880582244, 1998), beliau menegaskan"
"Proses mutasi mengurang dan bukan menambah maklumat genetik."
Dalam bahasa mudah ia bermaksud mutasi menyebabkan kecacatan dan bukannya kemantapan. Justeru, ikan tak mungkin dapat bertukar menjadi makhluk yang lebih mantap bernam manusia. Justeru, teori evolusi adalah satu teori dangkal yang tidak dapat diterima oleh sains.
Teori Darwin membuang kuasa Tuhan dan meggantikannya dengan 'Kuasa Kebetulan' atau 'Kuasa Semula Jadi'. Sekiranya ini adalah kepercayaan Darwin, justeru timbul pelbagai persoalan besar yang sukar dijawab semata - mata dengan menggunakan teori ini. Sebagai contoh, bagaimana sel pertama wujud? Bagaimana sel ini mampu berkembang dengan sendirinya menjadi makhluk yang pertama? Bagaimana is menyusun protein - protein dengan cara yang begitu teratur hingga mampu melahirkan makhluk yang kompleks?
Mengikut Sir Francis Crick, seorang saintis yang pernah dianugerahkan hadiah Nobel kerana menemui struktur DNA, untuk kesemua proses ini berlaku secara kebetulan ia adalah sesuatu yang mustahil. Di dalam bukunya yang bertajuk Life Itself: Its origin and Nature (New York, W.W.Norton, 1982) beliau memberikan satu contoh yang berkaitan dengan kejadian protein. Untuk asid - asid amino bercantum untk mengikut urutan yang betul demi melahirkan hanya satu protein, terdapat 10 kuasa 260 kemungkinan (iaitu 1, diikuti dengan 260 angka 0..satu angka yang sangat besar) yang boleh berlaku. Daripada kemungkinan yang begitu banyak ini bagaimana asid - asid amino menentukan pilihannya dengan tepat sehingga akhirnya dapat melahirkan bukan hanya satu protein malah pelbagai jenis protein yang tahu pula cara berinteraksi dengan tepat dan memilih suasana dengan tepat bagi melahirkan satu jenis hidupan? Justeru bagi Sir Francis Crick, teori Darwin dalah satu teori yang tidak berasas di sudut sains.
Demikian juga yang dikatakan oleh seorang pakar biokimia dari Universiti Lehigh, iaitu Dr. Michael Behe. Di dalam buku yang bertajuk Darwin's Black Box: The Biochemical Challenge to Evolution (The Free Press, New York 1996), beliau menyatakan sebahagian sistem biokimia adalah begitu kompleks kejadiannya sehinggakan tidak memungkinkan ia terjadi secara bertahap - tahap mengikut proses evolusi. Beliau menamakan fenomena yang kompleks ini sebagai Irreducible Complexity. Sebagai contoh, dalam proses pembekuan darah semasa berlaku pendarahan, protein dan enzim diperlukan serentak. Mengikut teori evolusi, kedua - duanya tidak dapat dihasilkan serentak kerana mengikut urutannya, protein perlu dihasilkan terlebih dahulu sebelum ia digunakan bagi menghasilkan enzim. dalam keadaan enzim balum dapat dihasilkan, bagaimana pendarahan dapat dihentikan? Apabila pendarahan tidak dapat dihentikan bagaimana hidupan yang berdarah dapat hidup?Apabila hidupan ini tidak dapat hidup bagaimana proses evolusi dapat bertahan?
Justeru pada hari ini semakin ramai saintis yang mempertikaikan teori evolusi Darwin. Islam menentang teori Darwin sebagaimana Islam menentang kesemua teori yang tidak saintifik apatah lagi yang jelas mengingkari kewujudan kuasa Tuhan. Berhubung dengan asal - usul manusia, umat Islam sepatutnya tidak melupakan kata nabi yang bermaksud:
"Manusia berasal daripada Adam dan Adam berasal daripada tanah."(Hadis Riwayat at-Tirmizi dan Abu Daud)
No comments:
Post a Comment