Saturday, February 28, 2009

Tidur adalah IBADAH..




Faedah Tidur


Islam menyuruh penganutnya tidur dan berehat supaya dengan itu segala ibadah dan aktiviti dapar dilakukan dengan baik. Di dalam sebuah hadis, diceritakan mengenai Abu Darda' yang tidak dapat tidur malam kerana ingin melakukan ibadah secara berterusan. Menurut Imam Bukhari, sahabatnya Salman al-Farisi menegurnya dengan berkata:

"Tuhanmu mempunyai hak ke atasmu, badanmu mempunyai hak ke atasmu dan isterimu mempunyai hak ke atasmu. Berikan kepada semua ini haknya."


Semasa Nabi Muhammad mendengar perkataan Salman ini, beliau berkata, "Benarlah Salman."

Islam menganggap tidur sebagai satu ibadah dan menekankan ia adalah hak badan yang perlu ditunaikan. Nabi Muhammad mementingkan kualiti ketika beramal dan tidur dapat membantu ke arah itu. Menurut Bukhari dan Muslim, beliau pernah memasuki masjid dan ternampak seutas tali merentangi dua tiang. Selepas bertanya, nabi diberitahu tali itu adalah kepunyaan Zainab yang berpaut kepadanya ketika keletihan selepas melakukan solat. Lantas Nabi Muhammad berkata:

"Buka tali ini! Hendaklah salah seorang di antara kamu bersolat ketika cergas dan ketika mengantuk pergilah tidur."



Pekerja Syif Malam dan Kesan Kepada Kesihatan

Tidur yang penting adalah tidur pada waktu malam. Allah berfirman:

"Dan Dia menjadikan malam sebagai pakaian bagimu dan tidur sebagai istirahat, dan dijadikan siang untuk bertebaran mencari rezeki."

surah al-Furqan, ayat 47


Pekerja - pekerja syif malam mempunyai risiko lebih tinggi menghidap sakit jantung. Pengkaji - pengkaji dari Universiti Milan mendapati jantung manusia tidak dapat menerima tekanan yang berlebihan di waktu malam. Hal ini disebabkan hormon cortisol yang berfungsi melajukan jantung dan pernafasan di waktu siang tidak begitu berperanan pada waktu malam justeru melemahkan konsentrasi dan tumpuan pekerja-pekerja pada syif malam di samping membebankan jantung mereka. Pakar-pakar dari Yayasan Jantung Britain bersetuju dengan pandangan ini kerana secara dasarnya, tekanan membebankan jantung dan meningkatkan risiko menghidap sakit jantung. Gangguan tidur disebabkan oleh perubahan syif kerja adalah sebahagian daripada tekanan yang dapat mengganggu fungsi jantung.


Tidur Tengah Hari dan Produktiviti

Tidur pada waktu tengah hari yang dikenali sebagai qailulah sering kali dilakukan oleh Nabi Muhammad. Di dalam kitab Misyakatul Masabih ada disebutkan:

"Tidur sekejap di waktu tangah hari ataupun qailulah bukanlah suatu perbuatan yang keji kerana Rasulullah pernah melakukannya."


Tidur di siang hari pernah dianggap lambang kemalasan. Namun Islam menganggapnya sebagai satu kebaikan asalkan seseorang tidak berlebih-lebihan dengannya.

Berhubung dengan ini, Iman Ghazali di dalam kitab Ihya Ulumiddin berkata:

"Hendaklah seseorang tidak meninggalkan tidur yang sekejap pada siang hari kerana ia membantu ibadah pada malam hari sebagaimana sahur membantu puasa di siang hari. Sebaik-baiknya hendaklah seseorang itu bangun dari tidurnya sebelum gelincir matahari untuk menunaikan solat Zohor."


Amalan tidur pada waktu tengah hari adalah suatu amalan Nabi Muhammad yang dapat menyegarkan tubuh badan dan sekaligus meningkatkan produktiviti. Dewasa ini, berpandukan kajian-kajian yang saintifik, tidur pada waktu tengah hari didapati berkesan bagi meningkatkan tenaga, tumpuan dan produktiviti pekerja-pekerja. Baru-baru, hasil daripada satu kajian yang dilakukan selama 25 tahun berhubung kesan tidur ke atas negara-negara industri dan pasca-industri mendapati bahawa:

"92.5% pekerja yang berkesempatan tidur di waktu tengah hari mempunyai daya kreativiti yang lebih tinggi berbanding mereka yang lain. Daya kemampuan mereka menyelesaikan masalah juga meningkat dan hasilnya ialah peningkatan produktiviti secara keseluruhannya."




No comments: