Thursday, March 5, 2009

Cerminan Kekuasaan dan Sifat-Nya

Sesuatu yang Tiada, Tidak Dapat Melakukan Sesuatu

Sesuatu yang tiada, tidak dapat melakukan sesuatu. Ini adalah perkara yang disepakati oleh semua orang. Hanya yang gila yang tidak menyetujuinya. Orang yang berakal tidak mungkin percaya bahawa jam di tangannya, kapal terbang atau kayu pembaris dijadikan oleh sesuatu yang tiada dan semua itu tidak mempunyai pencipta.

Firman Allah SWT:

(Mengapa mereka tidak beriman?) Adakah mereka telah tercipta dengan tiada yang menciptanya, atau adakah mereka yang mencipta diri mereka sendiri? Adakah mereka yang mencipta langit dan bumi itu? (Sudah tentu tidak!) Bahkan mereka adalah orang yang tidak meyakini (kebenaran apa yang mereka pernah mengakuinya)

at-Tur: 35-36


Jikalau begitu:

  • Setiap perbuatan mesti mempunyai pelakunya.
  • Setiap rekaan mesti mempunyai perekanya.
  • Setiap ciptaan mesti mempunyai penciptanya.

Perbuatan Menjadi Cerminan kepada Kekuasaan Pembuat dan Penciptanya.

Pertalian antara benda yang dibuat dengan pembuatnya adalah sangat rapat kerana benda yang dibuat menjadi cerminan kepada kekuasaan pembuat dan penciptanya. Perkara ini boleh diperhatikan berdasarkan contoh cerminan, atau klu kepada kebolehan pencipta yang mencipta sesuatu benda, seperti:

Perhatikan sebatang pembaris kayu dengan teliti. Kita dapati ia diperbuat daripada kayu. Pada ketika itu kita akan mengetahui bahawa:

  • Pembuat pembaris mempunyai kayu.
  • Pembuat pembaris mampu membuat pembaris daripada kayu.

Kita juga dapat melihat pembaris tersebut licin, elok reka bentuknya dan lurus bahagian tepinya. Dengan menggunakan akal kita akan mengetahui bahawa:

  • Pembuat pembaris mempu menjadikan kayu itu licin.
  • Pembuat pembaris mampu memotong kayu dalam bentuk yang tertentu.
  • Pembuat pembaris mampu menjadikan bahagian tepi pembaris kayu lurus dan tidak bengkok.

Kita juga akan mendapati terdapat garisan sela-sela yang sama besar yang diperbuat menggunakan garis-garis hitam. Dengan ini kita akan mengetahui bahawa:

  • Pembuat pembaris mempunyai cat hitam.
  • Pembuat pembaris mempi menjadikan cat warna hitam tersebut sebagai garisan yang halus lagi tersusun.
  • Pembuat pembaris berkemampuan membahagikan pembaris kepada sela yang sama besar dan tepat.

Dengan cara berfikir kita juga dapat mengetahui dengan yakin tentang sebahagian sifat pembuat pembaris tersebut, kita akan mengetahui bahawa:

  • Ketepatan dalam pemotongan bahagian tepi pembaris dan pembahagiannya kepada bilah-bilah yang sama dan lurus hanya dapat dilakukan oleh seorang yang berakal dan bijak berfikir yang berkemampuan memotong dan membuat garisan yang tepat.

Begitulah sebilah pembaris memberitahu kita dan menggambarkan sifat dan kemampuan pembuatnya.

Contoh lain pula, jika kita berfikir tentang kereta, kita akan mengetahui satu hakikat yang jelas iaitu:

  • Pembuat kereta mempunyai besi, kaca, dawai dan getah.
  • Pembuat kereta berkemampuan membentuk besi, kaca, dawai dan getah dalam bentuk yang tertentu untuk membuat kereta.
  • Pembuat kereta mempunyai kemampuan membentuk komponen-komponen kereta sepertimana kita melihatnya.

Dengan menggunakan akal, kita dapat mengetahui satu hakikat yang menguatkan keyakinan kita terhadap sebahagian sifat pembuat kereta, iaitu kita akan mengetahui bahawa:

  • Pembuat kereta adalah seorang pakar dalam pembuatannya.
  • Pembuat kereta adalah seorang yang bijaksana dalam kerjanya.
  • Pembuat kereta adalah seorang yang berakal dan tidak gila.

Kalau begitu:

  • Semua ciptaan merupakan cerminan kepada kemampuan dan sifat pembuatnya.

Kaitan antara makhluk dengan Penciptanya adalah rapat. Sama seperti kaitan antara pembuat dengan benda yang dibuatnya. Begitulah makhluk menjadi cerminan kepada kemampuan dan sifat Penciptanya.

Tidakkah kamu tahu:

  • Ketika kita melihat berjuta-juta makhluk yang begitu baik ciptaannya dicipta setiap hari, kita mengetahui satu hakikat yang diterima akal serta diyakini bahawa terdapat Pencipta yang mencipta dan mengadakannya.

  • Ketika kita melihat beribu-ribu kehidupan yang membesar dan hidup daripada bahan yang tidak bernyawa, dengan menggunakan akal kita meyakini bahawa kehidupan yang dicipta pada benda-benda hidup tersebut adalah perbuatan Yang Maha Menghidupkan.

  • Apabila kita berfikir tentang berjuta-juta bentuk ciptaan yang cantik, berseni, indah, bijaksana, teratur dan teliti yang ada di depan mata kita pada setiap hari iaitu pada tumbuh-tumbuhan, binatang, manusia dan benda-benda lain, kita mengetahui bahawa bentuk-bentuk itu adalah ciptaan Yang Maha Membentuk Rupa dagi Cantik Ciptaan-Nya.


Apabila kita berfikir tentang makhluk-makhluk ini, ia memberitahu kita sebahagian sifat Penciptanya:

  • Kita akan melihat hikmah yang jelas dalam pembentukan dan penyusunan semua makhluk. Ia memberitahu kita bahawa hikmah ini ialah Yang Maha Bijaksana lagi Maha Menghendaki.

  • Kita akan melihat pentadbiran yang bijak dan ketetapan yang teliti pada makhluk-makhluk ini. Ia memberitahu kita bahawa Tuhannya adalah Yang Maha Mengetahui lagi amat Mendalam Pengetahuan-Nya.

  • Kita akan melihat nikmat yang melimpah yang dinikmati oleh makhluk. Maka akal kita akan memberitahu kita bahawa Tuhannya adalah Yang Maha Penyayang lagi Maha Mengasihani.

  • Akal kita akan menyeru kita dengan berkata bahawa kekuasaan yang nyata dan sifat yang begitu jelas dan dapat dirasai hanyalah daripada Pencipta yang Wujud.

Begitulah, sesiapa yang berfikir tentang makhluk Allah akan mendapatinya cerminan yang memperlihatkan kudrat dan sifat Tuhannya. Dengan itu dia akan beriman kepada Tuhannya dengan keimanan yang mantap tanpa keraguan. Oleh itu, al-Quran dan al-Karim telah menggesa kita supaya berfikir dan mengkaji dengan mendalam makhluk ciptaan Allah.

Firman Allah Taala:

"Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi; dan (pada) pertukaran malam dan siang; dan (pada) kapal-kapal yang belayar di laut dengan membawa benda-benda yang bermanfaat kepada manusia; demikian juga (pada) air hujan yang Allah turunkan dari langit lalu Allah hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta Dia biakkan padanya dari berbagai-bagai jenis bintang; demikian juga (pada) peredaran angin dan awan yang tunduk (kepada kuasa Allah) terapung-apung di antara langit dengan bumi; sesungguhnya (pada semuanya itu) ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan Allah, kekuasaan-Nya, kebijaksanaan-Nya, dan keluasan rahmat-Nya) bagi kaum yang (mahu) menggunakan akal fikiran.

al-Baqarah : 164


Pada masa dahulu, seorang Arab berkata untuk membuktikan keimanannya:

"Sekiranya tahi unta menunjukkan adanya unta, tapak kaki di jalanan menunjukkan adanya orang yang melaluinya, maka bumi yang mempunyai gunung-ganang dan langit yang mempunyai bintang, tidaklah ia menunjukkan wujudnya Tuhan Yang Maha Lembut lagi Amat Mendalam pengetahuan-Nya?"
Jadi, kita dapat melihat pada makhluk ciptaan Allah, kekuasaan dan sifat Allah. Kita juga dapat mengetahui kewujudan Allah dengan melihat perkara tersebut.


No comments: