Sunday, March 1, 2009

Kecantikan Yang Memperdayakan

Kecantikan yang dikejar pada hari ini sering kali berasaskan hawa nafsu dan terpisah daripada petunjuk agama. Kecantikan yang diutamakan adalah yang berkaitan dengan kulit bukannya hati. Islam mementingkan kecantikan hati di samping tidak mengabaikan kecantikan hati di samping tidak mengabaikan kecantikan zahir, selagi mana ia tidak bercanggah dengan landasan syariat. Menurut Muslim, Nabi Muhammad berkata:

"Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada rupa parasmu dan tubuh jasadmu tetapi Dia melihat kepada kebersihan hatimu."


Kulit dan Penyerapan Bahan Toksik


Kulit adalah organ yang paling besar lagi kompleks yang mampu melaksanakan pelbagai fungsi bagi kesejahteraan manusia. Ia mempunyai keluasan 20 kaki persegi dan beratnya lebih kurang 8 paun (kira-kira 4 kilogram). Bagi setiap satu inci persegi, kulit mempunyai lebih kurang 19 juta sel. Kulit berfungsi mengeluarkan vitamin D3 yang digunakan di dalam proses pengeluaran tulang. Kulit juga merupakan sistem pertahanan yang menghalang bahan-bahan berbahaya daripada memasuki badan. Walau bagaimanapun, terdapat bahan-bahan khusus yang dapat menyerap masuk ke dalam badan melalui kulit.

Di antara insiden yang paling menonjol yang berkaitan dengan ini adalah yang melibatkan 40 orang pekerja di sebuah kilang kimia di Occidental, California pada tahun 1960. Kilang ini mengeluarkan bahan dibromochloropropane (DBCP) yang digunakan bagi membunuh cacing. Tanpa disedari, bahan ini menyerap masuk ke dalam badan melalui kulit dan kesannya pekerja-pekerja di kilang ini disahkan mengalami kemandulan. Contoh yang lain adalah bahan antikuman hexachlorophene, yang digunakan di dalam sabun-sabun yang dikeluarkan pada tahun 1950-an dan 60-an. Ia didapati dapat merosakkan otak dan menyebabkan maut ke atas bayi kesan daripada penyerapannya ke dalam badan bayi melalui kulit yang dilumuri sabun itu.

Kajian di Institut Worldwatch menunjukkan terdapat lebih kurang 75,000 bahan kimia yang mungkin disapu di atas kulit anda selama ini. Sebahagian daripadanya sudah diketahui sampingannya dan sebahagian yang lain masih belum diketahui kesan sampingannya sehingga ke hari ini. Mungkinkah kita hanya dapat mengetahui tentangnya apabila kesemuanya sudah terlambat.


Bahaya Kosmetik dan Kanser

Jumlah mereka yang menghidap penyakit kanser terus meningkat. Majalah Lancet 1999 melaporkan, lebih kurang 1.5 juta wanita di negara-negara maju disahkan menghidap kanser setiap tahun dan majoritinya adalah kanser payudara. Mengikut Persatuan Kanser Amerika, setiap orang daripada dua orang lelaki mempunyai risiko menghidap kanser dan bagi wanita, setiap orang daripada tiga orang. Daripada jumlah keseluruhan kematian yang berlaku setiap tahun di Amerika, satu daripada empat orang berpunca daripada penyakit kanser.

Bagi tahun 2002, dianggarkan 1,200,000 kes-kes baru dapat dikesan dan lebih kurang 1,500 kematian dianggarkan berlaku setiap hari disebabkan oleh kanser. Dr. Samuel Epstein (M.D.), Pengerusi Gabungan Pencegahan Kanser atau Cancer Prevention Coalition dan penulis buku The Safe Shopper's Bible dan The Politics of Cancer Revisited menyatakan, bahan-bahan toksik penyebab kanser memang terdapat di dalam produk yang sering digunakan oleh para pengguna pada hari ini termasuk produk kosmetik. Pada tahun 1990, lebih kurang 38,000 kes-kes kecederaan dilaporkan berlaku disebabkan oleh bahan-bahan kosmetik. Institut Kebangsaan Berhubung Keselamatan dan Kesihatan Tempat Kerja di Amerika mendapati terdapat 800 bahan kimia di dalam alat-alat kosmetik yang digunakan pada hari ini. Di antaranya adalah:

Diethanoamine (DEA), Triethanoamine (TEA)

Ia adalah sejenis agen pelembap yang mudah bertukar menjadi agen penyebab kanser yang dkenali sebagai nitroamines. Ia terdapat dalam syampu dan sebun jenis cecair.

Blue 1, Green 3, Red 33, Yellow 5, Yellow 6

Semua ini adalah bahan pewarna yang sering digunakan pada hari ini dan boleh menyebabkan kanser kulit.

Sodium Lauryl Sulfate, Ammonium Lauryl Sulfate, Ammonium Laureth Sulfate, Alpha Olefin Sulfonate

Bahan-bahan kimia ini dikenali sebagai surfactants digunakan bagi membersihkan rambut dan mengeluarkan buih. Ia terdapat di dalam syampu, sebahagian ubat gigi, krim pencukur dan sabun pembasuh baju. Bahan-bahan kimia ini berinteraksi untuk mengeluarkan 1,4 dioxane dan mengikut Institut Barah Kebangsaan di Amerika, bahan kimia ini menyebabkan kerosakan hati dan juga kanser. Dr. John Baily, Pengarah Bahagian Kosmetik dan Pewarna di Pentadbiran Pemakanan dan Ubat-ubatan (FDA) di Amerika melaporkan kebanyakan syampu, krim dan losyen pada hari ini mengandungi kadar 1,4 dioxane yang tinggi.

Phenylenediamine

Bahan ini dapat menyebabkan kanser dan juga penyakit buta. Ia terdapat di dalam pewarna rambut.

Petrolatum

Bahan kimia ini diperoleh daripada minyak petroleum dan menyebabkan kekeringan kulit. Ia terdapat di dalam krim kulit dan gincu.

Propylene Glycol

Ia terdapat di dalam kebanyakan krim pelembap, krim dan losyen badan serta rambut kerana ia mampu menghalang proses pembekuan sekaligus mencegah kerosakan krim dan losyen. Sebenarnya bahan propylene glycol tidak sepatutnya digunakan di dalam produk untuk rambut dan kulit kerana ia mampu meresap masuk ke dalam darah melalui kulit dan menyebabkan kerosakan hati dan buah pinggang.

Isopropyl Alcohol

Bahan kimia ini diperoleh daripada minyak petroleum dan ia terdapat di dalam pewarna rambut, losyen-losyen tangan, badan dan pencukur. Di antara kesan sampingannya adalah pening kepala, kemurungan atau depression dan koma.

Dibutyl Phthalates (DBP)

Ia terdapat di dalam sebahagian minyak wangi, pengilat kuku atau nail polish dan bahan penyembur rambut atau hairspray. Kajian yang dilakukan oleh pakar-pakar dari Pusat Pengawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) di Amerika menunjukkan ia boleh mengganggu kesuburan kaum wanita terutama yang berumur 20 hingga 30 tahun. Bahan yang sama juga dipercayai menjadi punca ramai kaum lelaki mengalami kecacatan dan barah zakar pada tahun 70-an dan 80-an.



No comments: