Abu Bakar mempunyai seorang hamba yang menyerahkan sebahagian pendapatan hariannya. Pada suatu hari, hambanya itu telah membawa makanan untuk Abu Bakar. Abu Bakar kemudian memakan sebahagian makanan tersebut. Kemudian hamba itu berkata, "Kamu sentiasa bertanya tentang sumber makanan yang saya bawa tetapi pada hari ini kamu tidak berbuat demikian".
Abu Bakar berkata, "Saya terlalu lapar hingga saya lupa bertanya. Terangkan kepadaku di mana kamu mendapat makanan ini".
"Sebelum saya memeluk Islam, saya bekerja sebagai tukang ramal. Orang - orang yang saya ramal nasibnya kadang - kadang tidak dapat membayar wang kepadaku. Mereka berjanji akan membayarnya apabila sudah memperolehi wang. Saya telah berjumpa dengan mereka pada hari ini. Merekalah yang memberikan saya makanan ini", ujar hamba tersebut.
Sejurus sahaja Abu Bakar mendengar kata - kata hambanya itu, beliau terus memekik, "AH! Hampir saja engkau membunuh saya". Seterusnya beliau cuba untuk meluahkan makanan yang telah dimakannya. Orang yang melihatnya mencadangkan kepadanya untuk mengisi perutnya dengan air dan kemudian memuntahkan makanan yang ditelannya tadi. Cadangan itu diterima dan dilaksanakan oleh Abu Bakau sehingga makanan itu berjaya diluahkan keluar.
Orang - orang yang memerhatikannya berkata, "Mudah - mudahan Allah memberikan rahmat ke atasmu. Kamu telah bersusah - payah kerana makanan yang sedikit ini".
Abu Bakar menjawab, "Saya sudah pasti memaksanya untuk keluar walaupun saya mesti kehilangan nyawaku sendiri. Saya pernah dengar Nabi berkata bahawa badan yang tumbuh subur dengan makanan yang haram akan merasakan api neraka. Oleh kerana itulah saya akan memaksa makanan itu keluar, takut jika makanan itu menyuburkan badanku".
Abu Bakar sentiasa meneliti sama ada sesuatu makanan itu halal atau haram dimakan. Janganlah mendapat harta melalui jalan yang haram bagi diri sendiri, apatah lagi untuk orang lain atau keluarga sendiri kerana kelak di hari Akhirat, perkara ini akan disoal: Dari mana kamu peroleh hartamu dan ke mana engkau membelanjakannya.
Tuesday, October 21, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment