Tuesday, October 21, 2008

Mangkuk yang cantik, madu dan sehelai rambut

Rasulullah SAW dengan sahabat - sahabatnya Abu Bakar r.a, Umar r.a dan Othman r.a berkunjung ke rumah Ali r.a. Di rumah beliau, isterinya Saydatina Fatimah r.a, iaitu puteri Rasulullah SAW menghidangkan mereka madu yang diletakkan di dalam satu mangkuk yang cantik. Ketika semangkuk madu itu dihidangkan, terlihat sehelai rambut turut bersama semangkuk madu tersebut. Baginda Rasulullah SAW kemudian meminta kesemua sahabatnya untuk membuat satu perbandingan terhadap ketiga - tiga benda tersebut iaitu mangkuk yang cantik, madu serta sehelai rambut.

Abu Bakar r.a berkata, "Iman itu lebih cantik daripada mangkuk yang cantik ini. Orang yang beriman itu lebih manis daripada madu dan mempertahankan iman itu lebih susah daripada meniti sehelai rambut".

Umar r.a berkata, "Kerajaan itu lebih cantik daripada mangkuk yang cantik ini. Seorang raja itu lebih manis daripada madu dan memerintah dengan adil itu lebih susah daripada meniti sehelai rambut".

Othman r.a berkata, "Ilmu itu lebih cantik daripada mangkuk yang cantik ini. Orang yang menuntut ilmu itu lebih manis daripada madu dan beramal dengan ilmu yang dimiliki itu lebih susah daripada meniti sehelai rambut".

Ali r.a berkata, "Tetamu itu lebih cantik daripada mangkuk yang cantik ini. Menjamu tetamu itu lebih manis daripada madu dan membuat tetamu itu senang hati sehinggalah dia pulang semula ke rumahnya adalah lebih susah daripada meniti sehelai rambut".

Fatimah r.a berkata, "Seorang wanita itu lebih cantik daripada mangkuk yang cantik ini. Wanita yang berpurdah (menutup aurat dengan sempurna) itu lebih manis daripada madu dan memiliki seorang wanita yang tak pernah dilihat orang lain selain muhrimnya itu lebih susah dari meniti sehelai rambut".

Rasulullah SAW berkata, "Seorang yang mendapat taufiq untuk beramal adalah lebih cantik daripada mangkuk yang cantik ini. Beramal dengan amalan soleh itu lebih manis daripada madu dan beramal dengan ikhlas itu lebih sukar daripada meniti sehelai rambut".

Malaikat Jibril a.s berkata, " Menegakkan agama itu lebih cantik daripada mangkuk yang cantik ini. Mengorbankan diri, harta dan waktu kerana agama itu lebih manis daripada madu dan mempertahankan usaha agama hingga ke akhir hayat itu lebih susah daripada meniti sehelai rambut".

Allah SWT berfirman, "SyurgaKu itu lebih cantik daripada mangkuk yang cantik ini. Nikmat syurgaKu itu lebih manis daripada madu dan jalan menuju syurgaKu adalah lebih sukar daripada meniti sehelai rambut".

No comments: